Friday, February 29, 2008

prasekolah swasta vs prasekolah kementerian

Merujuk pada pertanyaan sdra Putra tentang perbezaan tadika swasta dengan prasekolah kementerian, sebenarnya terdapat beberapa faktor yang menentukan kualiti sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak, antaranya:

> Bangunan dan kemudahan fizikal
> Penaung/penganjur, Pengurus dan pembantu

Namun kami tidak mahu membincang topik ini berdasarkan kedua-dua faktor di atas kerana sudah acapkali disentuh oleh pihak lain.

Seperkara yang sering kita terlepas pandang ialah penglibatan keluarga majoriti kanak-kanak di situ juga sedikit sebanyak mempengaruhi sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak. Penglibatan di sini bermaksud sejauh mana iltizam ibu bapa terhadap pendidikan anak mereka. Ibu bapa tidak semestinya kerap datang atau bertanya guru tentang perkembangan anak mereka sebaliknya cukup dengan memainkan peranan mengajar anak mereka di rumah. Selama ini ibu bapa memang tiada masalah dalam mendidik anak-anak, cuma pada masa sekarang sudah ramai ibu bapa yang tiada masa untuk mengajar anak mereka seperti menulis dan membaca. Hal ini kerana persediaan, perancangan, pendekatan dan corak pengajaran guru turut dipengaruhi oleh latar belakang klien guru tersebut.

(insya Allah kami akan bincangkan tentang perbezaan mendidik dan mengajar serta keperluan untuk melaksanakan kedua-duanya tidak lama lagi di laman http://www.morhabshi.com )

Perlu diingat bahawa mulai 2003 semua pusat pembelajaran kanak-kanak MESTI mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk mematuhi sukatan pelajaran prasekolah yang dikeluarkan oleh kementerian. Justeru tidak timbul lagi persoalan prasekolah swasta lebih baik daripada prasekolah kelolaan kementerian. Malah, mana-mana pusat pengajaran kanak-kanak yang tidak mengikuti garis panduan yang disediakan oleh kementerian boleh dianggap kurang sesuai untuk kanak-kanak Malaysia. Hal ini kerana sukatan pelajaran prasekolah yang ditetapkan oleh kementerian adalah hasil kajian dan perbincangan para sarjana, tokoh pendidik dan semua pihak bagi menyediakan rakyat Malaysia yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan negara bangsa dan negara kota.

Wallahu 'alam

No comments: